Mukaddimah
Dari zaman ke zaman, perpecahan dalam kelompok manusia ini sentiasa berlaku dan serangan demi serangan terhadap Islam terus berlangsung. Syubhat demi syubhat terus dilancarkan oleh musuh-musuh Islam sama ada dari luar atau dalam kelompok umat Islam itu sendiri. Bermula dari zaman para sahabat di mana perpecahan mula terjadi melalui pelbagai fitnah yang ditimbulkan oleh golongan pemberontak terhadap sebuah daulah pemerintahan Islam. Kemudian munculnya puak khawarij, Syi’ah, Muktazilah, Murji’ah, dan seterusnya.
Sehinggalah ke zaman ini, tidak kurang pelbagai syubhat-syubhat yang merancukan dan mengelirukan pemahaman terhadap Islam terus dilancarkan ke tengah-tengah benak minda umatnya. Perkara tersebut tidak lain dan tidak jauh bezanya dengan pelbagai jenis makar yang ditimbulkan sejak mula kemunculan Islam 1400 tahun dahulu lagi. Namun, sedikit bezanya hanya kini ianya muncul dengan pelbagai jenis nama-nama yang berlainan. Dengan label dan tanda branding yang mampu memikat hati dan jiwa umat Islam yang jauh daripada ilmu. Dengan helah dan gerak kerja yang sedikit berbeza. Namun, asas-asas dan methode pemikiran yang membina kelompok-kelompok mereka tidak jauh berbeza dengan perpecahan dan kesesatan yang mula-mula timbul di dalam sejarah umat Islam. Antara yang terkenal pada masa ini adalah seperti gerakan feminisme, liberalisme agama, Hizbut Tahrir, Jema’ah al-Qur’an, pelbagai jenis gerakan tarekat, gerakan anti hudud, gerakan pejuang hudud, dan pelbagai lagi jenis jenama yang dipopularkan.
Di antara mereka yang mahu kita sentuh dan tangkis syubhat-syubhatnya adalah sebuah gerakan yang menolak dan meninggalkan penggunaan hadis-hadis dan sunnah-sunnah Rasulullah dalam mengambil serta mengaplikasikan agama. Antara lain, golongan mereka ini dikenali dengan nama Qur’aniyun atau Golongan Anti Hadis. Sebenarnya hal ini adalah sebagaimana yang diberitahu melalui sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri,
“Ketahuilah sesungguhnya diturunkan kepada ku al-Quran dan yang semisalnya bersamanya (as-Sunnah), ketahuilah akan datang seseorang yang kenyang duduk di atas pembaringannya berkata: “Berpegang teguhlah kepada al-Quran ini saja, semua yang kamu perolehi daripadanya akan kehalalan, maka halalkanlah dan yang kamu perolehi daripadanya suatu keharaman maka haramkanlah”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 4/131 dan Abu Daud, 5/11)
Sejarah Meletusnya Gerakan/Pemikiran Anti Hadis
Fahaman/Pemikiran anti-Hadis atau Ingkarul Sunnah atau kini dikenali sebagai Qur’aniyoon telah dikenal pasti diasaskan oleh Profesor Dr. Goldziher, kelahiran Hungary berbangsa Yahudi pada tahun 1870 dan meninggal pada tahun 1921. Goldziher mendapat biasiswa Zionis International Jerman untuk melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar pada tahun 1873. Dia dihantar khas mendalami bidang Sunnah dan akhirnya dia mencetuskan ajaran mengingkari Sunnah dengan slogan “Pembaharuan Islam”.
Pada tahun 1876, sekembalinya dari Mesir, beliau memegang jawatan Setiausaha Zionis Antarabangsa cawangan Budapest. Kemudian selama 15 tahun dia mengajar di maktab Zionis Budapest untuk melahirkan graduan-graduan Zionis yang akan bertebaran di seluruh dunia mengembangkan ajaran mengingkari sunnah ini bertujuan melemahkan ajaran Islam dari dalam. Pengasas ajaran Ingkarus Sunnah ini meninggalkan hampir 200 judul karya khas dalam jurusan Mengingkari Sunnah dan melahirkan beratus ribuan graduan yang telah dirosakkan kefahaman mereka tentang Sunnah. Profesor Goldziher adalah salah seorang yang membawa dan menyebarkan agenda Zionis Antarabangsa.
Kebanyakan cendikiawan islam yang menuntut di Eropah telah terpengaruh dengan ajaran Goldziher ini. Di antara murid-murid Goldziher yang termashyur dari Mesir ialah Dr. Ali Hasan Abdul Kadir, Toha Hussin, Dr. Ahmad Amin, Rasyad Khalifa, dan Dr. Abu Rayyah.
Gerakan Anti Hadis dibawa ke USA:
Gerakan Anti-Hadis telah dibawa ke USA oleh Dr. Rasyad Khalifa (bangsa Arab keturunan Egypt), yang kemudiannya mendapat kerakyatan USA. Beliau telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk: “Islam: Masa Lampau, Kini dan masa Depan” pada seminar Misionari Kristian dan Yahudi dari 8-17 Jun, 1983 di USA. Bermula pada tarikh inilah, Dr. Rasyad telah menubuhkan secara rasmi gerakan “The Quranic Society” yang berpusat di Tucson di mana beliau mengajar di Universiti Tucson. Dr. Rasyad dengan angkuh telah menyebut: “Hadis-hadis adalah ciptaan Iblis, mempercayai hadis bermakna mempercayai ajaran Iblis”. Keceluparan beliau telah menyebabkan dia dibunuh dengan penuh misteri sebaik sahaja Arab Saudi mengeluarkan fatwa sesatnya Dr. Rasyad dan “Golongan al-Qur’annya”.
Berikut ini adalah sedutan Fatwa Syaikh Abd Aziz ben Bazz, Mufti Besar Arab Saudi:
“Gerakan Ingkar Sunnah yang digerakkan oleh Rasyad Khalifah adalah batil dan merbahaya, iaitu mengadakan kegiatan Mengingkari Sunnah dengan cara memutar balikkan tafsir al-Qur'an secara batil. Maka saya atas nama Pemerintah Arab Saudi menyeru agar seluruh muslimin agar berhati-hati terhadap gerakan yang dicetuskan oleh Rashad Khalifa dan jangan sampai terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut.” (Fatwa No 903, Syawal 1403 bersamaan Ogos 1983)
Rujukan:
1. Fatwa Kebangsaan anti hadis, 1993.
2. Fatwa Komisi Fatwa Majlis Ulama Indonesia Pusat, 1983.
3. Keputusan Jaksa Agung Republik Indonesia, Nomor KEP 169/J.A/9/1983.
4. The Qur'an's Numerical Miracle: 19 Hoax and heresy, Abu Aminah Bilal Phillips.
5. Kod 19 Menyesatkan, terbitan YADIM, (Dr Abd Fatah Ibrahim).
6.Gerakan Inkaru Sunnah, Ahmad Husnan, Media Dakwah, jakarta.
Perintah Allah Di Dalam al-Qur’an Supaya Mengambil Sunnah Rasul-Nya
Berikut ini, dibawakan beberapa dalil-dalil al-Qur’an yang berkaitan dengannya:
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah. (al-Hasyr, 59: 7)
“Dan
Kami turunkan kepadamu al-Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat
manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka supaya mereka
memikirkan.” (an-Nahl 16: 44)
“Katakanlah
(Wahai Muhammad) kepada mereka: “Jika kamu (benar-benar) mencintai
Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni
dosa-dosamu”. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ali Imran,
3: 31)
“Sesungguhnya
telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu
(iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari
kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (al-Ahzaab, 33: 21)
“Maka
demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka
menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan,
kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan
terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan
sepenuhnya.” (an-Nisaa’, 4: 65)
“Hai
orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan
ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang
sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul
(sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari
kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik
akibatnya.” (an-Nisaa’, 4: 59)
“Sesungguhnya
jawaban orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan
rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah
ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang
yang beruntung.” (an-Nuur, 24: 51-52)
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)” (an-Najm, 53: 3-4)
“Dan
Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya
sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi
kebanyakan manusia tiada mengetahui.” (Saba’, 34: 28)
“Dan
sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk
menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu”, maka di
antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada
pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka
berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan
orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (an-Nahl, 16: 36)
بَرَاءَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Dialah
yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk dan agama yang
benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang
musyrikin tidak menyukai.” (at-Taubah, 9: 33)
“Sungguh
Allah telah memberi karunia kepada orang-orang yang beriman ketika
Allah mengutus diantara mereka seorang rasul dari golongan mereka
sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan
(jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah.”
(Ali Imran, 3: 164)
“Kami
tidaklah mengutus seseorang nabipun kepada sesuatu negeri, (lalu
penduduknya mendustakan nabi itu), melainkan Kami timpakan kepada
penduduknya kesempitan dan penderitaan supaya mereka tunduk dengan
merendahkan diri.” (al-A’raaf, 7: 94)
Mengkaji Dan Memahami Kuasa Authority Rasulullah di sisi al-Qur’an
Di antara yang sering menjadi pertanyaan orang ramai dan yang selalu dijadikan hujah oleh Golongan Anti Hadis adalah tentang wujudnya hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang memerintah atau melarang sesuatu hukum, sedangkan hukum tersebut tidak terdapat di dalam al-Qur’an, malah adakalanya bertentangan dengan hukum al-Qur’an. Satu contoh yang masyhur adalah hukuman bagi jenayah zina, di mana al-Qur’an hanya menghukumkan sebatan 100 kali kepada penzina tanpa membezakan antara yang sudah berkahwin atau belum manakala al-Hadis pula memberatkan lagi hukuman tersebut kepada rejaman batu sehingga mati kepada penzina yang sudah berkahwin.
Di atas hanyalah satu contoh. Sama ada ia satu hukuman, perintah atau larangan, yang menjadi asas perbincangan adalah, apakah seorang Rasul itu wajib ditaati dalam perkara-perkara dan urusan yang tidak disebut di dalam kitab al-Qur’anul Karim. Lebih luas, apakah kita patut mentaati segala ajaran, perintah, larangan dan hukum yang berasal daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam padahal ajaran, perintah, larangan dan hukum tersebut tidak terdapat di dalam kitab al-Qur’anul Karim. Untuk menjawab persoalan ini, kita akan melihat ayat-ayat al-Qur’an atau dalil-dalilnya agar dapat diketahui secara pasti kedudukannya. Kajian ini amat penting kerana apabila telah diketahui kuasa dan authority Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diberi oleh Allah Subhanau wa Ta’ala, tidak akan timbul lagi sebarang kemusykilan tentang hukum-hukum atau ajaran-ajaran al-Hadis yang berbeza atau bercanggah dengan al-Qur’an.
Kajian ini dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu:
[1] Kajian terhadap ayat-ayat yang menerangkan perintah mentaati para Nabi dan Rasul sebelum Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
[2] Kajian terhadap susunan dan gaya bahasa ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
[3] Kajian terhadap ayat-ayat yang memberi kuasa dan authority kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk menggubal dan melaksanakan hukum secara tersendiri.
Pertama: Kajian Terhadap Dalil-dalil Mewajibkan Ketaatan kepada Para Nabi dan Rasul Terdahulu.
Sebagaimana yang kita sama-sama ketahui, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bukanlah seorang Rasul yang pertama diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia. Hal ini jelas diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Qur’an:
“Katakanlah (Wahai Muhamad): Aku bukanlah Rasul yang pertama di antara rasul-rasul.” (al-Ahqaaf, 46: 09)
Kesemua Rasul-rasul ini diwajibkan ketaatannya oleh umat yang mereka diutuskan kepada, sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah.” (an-Nisaa’, 4: 64)
Apabila telah jelas bahawa semua para Rasul ini wajib ditaati atas perintah dan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri maka kini perlu kita kaji pula apakah para Rasul ini wajib ditaati hanya dalam perkara-perkara yang disebut di dalam kitab suci mereka masing-masing sahaja atau adakah perintah mentaati ini turut meliputi perkara-perkara yang di luar dari kitab suci mereka. Kita sama-sama ketahui bahawa para Rasul yang diberi kitab suci adalah:
[1] Nabi Ibrahim ‘alaihi salam dengan kitab yang digelar suhuf-suhuf. (al-A’laa, 87: 19)
[2] Nabi Daud alaihi-salam dengan kitab Zabur. (an-Nisaa’, 4: 163)
[3] Nabi Musa alaihi-salam dengan kitab Taurat. ([al-Israa’, 17: 2)
[4] Nabi Isa alaihi-salam dengan kitab Injil. (al-Maidah, 5: 46)
[5] Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan kitab al-Qur’an.
Memandangkan lima para Rasul di atas telah diberi kitab suci, kita akan tumpukan kajian kepada para Rasul dan Nabi yang tidak diberi kitab suci. Dengan itu dapat kita ketahui bahawa apabila Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan ketaatan kepada para Rasul dan Nabi ini nyata bahawa ketaatan tersebut adalah kepada ajaran, perintah, larangan dan hukum yang berasal dari para Rasul dan Nabi itu sendiri bukan kepada sesebuah kitab suci.
Kajian kita ditumpukan kepada lima orang Nabi dan Rasul berikut, di mana kisah-kisah mereka telah diungkapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kitab al-Qur’anul Karim:
“(Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka); Ketika saudara mereka, (iaitu) Nabi Nuh berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (asy-Syu’ara, 26: 105-108)
“Kaum Aad telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka, (iaitu) Nabi Hud berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (asy-Syu’ara, 26: 123-126)
“Kaum Thamud telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka, (iaitu) Nabi Sholeh berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (asy-Syu’ara, 26: 141-144)
“Kaum Lut telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka – Nabi Lut berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (asy-Syu’ara, 26: 160-163)
“Penduduk Aikah (Madyan) telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka, (iaitu) Nabi Syu’aib berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (asy-Syu’ara, 26: 176-179)
Dalam kumpulan ayat di atas, diterangkan kisah-kisah Nabi Nuh, Hud, Shalih, Lut dan Syu’aib alaihimussalam yang telah memerintahkan kepada kaum masing-masing untuk bertaqwa kepada Allah, iaitu dengan mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah; dan untuk mentaati diri mereka sendiri. Kita sama-sama ketahui bahawa mereka adalah para Nabi dan Rasul yang tidak diturunkan sebuah kitab suci, maka merujuk kepada apakah mereka menuntut ketaqwaan dan ketaatan tersebut? Ia tidak lain merujuk kepada segala ajaran, perintah, larangan dan hukum yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul itu sendiri.
Di sini jelas terbukti perintah mentaati seorang Nabi atau Rasul tanpa perlu ketaatan tersebut dirujuk atau didasarkan kepada sebuah kitab suci kerana jika setiap ajaran, perintah, larangan dan hukum seseorang Nabi atau Rasul wajib dirujuk dan dikandung sama oleh sebuah kitab suci, maka bagaimanakah kaum-kaum di dalam kisah-kisah di atas hendak mentaati segala ajaran, perintah, larangan dan hukum Nabi dan Rasul mereka padahal mereka tidak memiliki sebuah kitab suci untuk dijadikan rujukan kepada mereka?
Dengan jelasnya perkara ini kepada kita, maka jelaslah juga satu prinsip asas yang penting, iaitu apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan ketaatan kepada seseorang Rasul, perintah ketaatan tersebut adalah merujuk kepada segala ajaran, perintah, larangan dan hukum yang bersumber dari Rasul tersebut tanpa mengira sama ada Rasul tersebut diberi sebuah kitab suci atau tidak. Ia juga menunjukkan bahawa ketaatan adalah wajib kepada seseorang Rasul tanpa mengira sama ada subjek yang hendak ditaati dari Rasul itu terkandung sama di dalam kitab suci atau tidak. Ini adalah Sunnatullah terhadap para Nabi dan Rasul terdahulu dan Sunnatullah ini berlaku terus kepada Rasul yang terakhir, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Kedua: Kajian dari Sudut Susunan dan Gaya Bahasa terhadap ayat-ayat yang Memerintahkan Ketaatan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Terdapat dua bentuk atau pola susunan ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan larangan menderhakainya. Bentuk pertama adalah ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan perkataan “taat” hanya disebut sekali di awal perintah. Perhatikan ayat-ayat berikut:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” (Ali Imran, 3: 32)
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu.” (al-Anfal, 8: 46)
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (al-Ahzaab, 33: 71)
Bentuk yang kedua pula adalah ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan perkataan “taat” hanya disebut dua kali bagi setiap perintah. Perhatikan ayat-ayat berikut:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (al-Nisaa’, 4: 59)
“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata. (at-Taghabun, 64: 12)
“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya).” (al-Maidah, 5: 92)
Dua bentuk atau pola susunan ayat yang berbeza ini bukanlah sesuatu yang tidak disengajai di dalam al-Qur’an, tetapi ia adalah salah satu tanda kemukjizatan dan kekayaaan gaya bahasanya. Bentuk dan pola susunan pertama hanya menyebut perintah “taat” sekali, iaitu Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, bererti ia mewakili ketaatan kepada ajaran, perintah, larangan dan hukum di dalam al-Qur’an dan al-Hadis yang ada persamaan di antara kedua-duanya. Justeru kerana adanya persamaan tersebut, adalah memadai perintah taat disebut sekali sahaja di awalnya. Contohnya adalah perintah wajib berwudhu di dalam solat, ia diwajibkan oleh al-Qur’an dan juga oleh al-Hadis.
Ragam dan pola susunan kedua pula mengulangi kata “taat” bagi setiap perintah, iaitu Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, bererti ia merangkumi ketaatan kepada ajaran, perintah, larangan dan hukum di dalam al-Qur’an dan al-Hadis yang memiliki perbezaan dengan setiap darinya tetap ditaati walaupun tidak memiliki persamaan antara satu sama lain. Justeru perintah al-Qur’an wajib ditaati dan perintah al-Hadis wajib ditaati sekalipun tidak ada perhubungan atau kesamaan di antara kedua-duanya. Contohnya adalah perintah mengulangi wudhu’ kerana beberapa sebab yang membatalkannya, ia wajib ditaati sekalipun ia hanya disebut oleh al-Hadis dan tidak disebut oleh al-Qur’an.
Keterangan dalam perenggan terakhir di atas diperkuatkan lagi dengan kehadiran ayat-ayat yang hanya memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan larangan menderhakainya secara bersendirian sahaja. Perhatikan ayat-ayat berikut:
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasulullah supaya kamu beroleh rahmat.” (an-Nur, 24: 56)
“Dan jika kamu taat kepadanya (Muhammad) nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk.” (an-Nur 24: 54)
“Pada hari itu orang-orang yang ingkar dan derhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.” (an-Nisaa’, 4: 42)
“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (an-Nisaa’, 4: 115)
4 ayat di atas menerangkan perintah untuk mentaati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan larangan menderhakainya dan sebagaimana yang telah disebut, perintah larangan ini ditujukan khusus terhadap diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sahaja. Ini tidak lain menunjukkan perintah mutlak mentaati segala ajaran, perintah, larangan dan hukum Rasulullah tanpa mengambil kira sama ada ia terkandung dalam al-Qur’an atau tidak.
Ketiga: Kajian terhadap ayat-ayat yang memberi kuasa dan authority kepada Rasulullah untuk menggubal dan melaksanakan hukum secara tersendiri.
Berikut akan kita kaji dan teliti pula ayat-ayat al-Qur’anul Karim yang menerangkan kuasa dan authority yang sedia diberikan oleh Allah ‘Azza wa Jalla kepada Rasul-Nya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kajian akan ditumpukan kepada 3 buah ayat, ayat ke 157 dari surah al-A’raaf, ayat 65 dari surah an-Nisaa’ dan ayat ke 7 dari surah al-Haysr.
Pertama: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.” (al-A’raaf, 7: 157)
Ayat ini secara jelas dan mutlak memberi kuasa dan authority kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk menggubal dan melaksanakan hukum-hukum syari’at Islam. Jika diperhatikan ayat ini, akan di dapati:
[1] Allah ‘Azza wa Jalla memulai ayat ini dengan menyatakan bahawa Muhamad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seorang Rasul yang telah sedia tercatit nama dan kedudukannya di dalam kitab-kitab yang terdahulu, khususnya Taurat dan Injil. Pernyataan ini adalah bagi membina dasar yang kukuh terhadap kedudukan dan kemulian Rasul pilihannya itu.
[2] Kemudian diterangkan tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyuruh umat melakukan apa yang baik lagi bermanfaat dan melarang serta menghindar mereka daripada melakukan apa yang keji lagi memudaratkan. Perhatikan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla menerangkan tugas Rasul-Nya ini secara tersendiri tanpa menyuruh beliau merujuk atau menyandar kepada ayat-ayat al-Qur’an. Iaitu Allah Ta’ala tidak berfirman Ia dengan al-Qur’an ini menyuruh mereka melakukan apa yang baik atau Ia menyuruh mereka melakukan apa yang baik sepertimana yang diterangkan oleh al-Qur’an ini atau Ia melarang mereka apa yang buruk sebagaimana yang dilarang dalam al-Qur’an atau apa-apa lain yang seumpama.
[3] Seterusnya Allah Azza waJalla menerangkan kuasa dan authority Rasul-Nya menghalalkan apa yang baik lagi berfaedah untuk umat dan mengharamkan apa yang buruk lagi membinasakan umat. Sekali lagi perhatikan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla memberi kuasa penuh kepada Rasulullah untuk menghalalkan sesuatu dan mengharamkan sesuatu tanpa menyuruh beliau merujuk atau menyandar kepada ayat-ayat al-Qur’an. Iaitu Allah Ta’ala tidak berfirman Halalkanlah apa yang dihalalkan dalam al-Qur’an dan haramkanlah apa yang diharamkan dalam al-Qur’an atau apa-apa lain yang seumpama.
[4] Dan akhirnya Allah ‘Azza wa Jalla menerangkan tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menghapuskan segala bebanan dan belenggu yang mengikat manusia di ketika itu. Antaranya ialah beberapa fahaman agama yang sengaja diada-adakan oleh para tokoh agama Yahudi dan Nasrani seperti kehidupan ala Rahib dan Paderi, tidak boleh berkahwin, anak menanggung dosa orang tua dan sebagainya. Begitu juga dengan pelbagai istiadat dan perlakuan masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu seperti perhambaan, pembunuhan anak perempuan, melakukan sembelihan dan korban untuk tuhan-tuhan dan macam-macam lagi. Sekali lagi perhatikan bahawa Allah Azza waJalla memberi kuasa penuh kepada Rasulullah untuk menghapuskan bebanan dan belenggu ciptaan menusia tersebut tanpa menyuruh beliau merujuk atau menyandar kepada ayat-ayat al-Qur’an. Iaitu Allah Ta’ala tidak berfirman: hapuskanlah bebanan dan belenggu tersebut berdasarkan apa yang disyari’atkan di dalam al-Qur’an atau apa-apa lain yang seumpama.
Kedua: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Maka tidaklah – Demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (an-Nisaa’, 4: 65)
Sepertimana ayat 157 surah al-A’raaf, ayat ini juga dengan tegas dan mutlak menerangkan kuasa dan Authority Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk menggubal dan menjatuhkan hukum secara tersendiri tanpa perlu dirujuk atau disandarkan kepada al-Qur’anul Karim. Malah ayat ini mempersyaratkan keimanan seseorang kepada ketaatan dan keredhaan penuh terhadap apa jua hukum yang diputuskan oleh Rasulullah. Sesiapa yang taat dan redha maka dialah orang yang benar beriman manakala sesiapa yang ingkar dan tidak setuju maka dia bukan orang yang beriman. Jika dicermati ayat di atas, akan didapati:
[1] Allah ‘Azza wa Jalla memulakan ayat ini dengan suatu bentuk sumpah: “Maka tidaklah – Demi Tuhanmu…” Para ahli tafsir telah menerangkan bahawa apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala bersumpah di dalam al-Qur’an, ia adalah bagi menunjukkan kebesaran objek yang disumpah-Nya atau bagi mengisyaratkan besarnya subjek ayat yang bakal menyusuli setelah sumpah tersebut. Maka di sini sumpah Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah bagi mengisyaratkan besarnya subjek yang bakal menyusuli iaitu ukuran sama ada beriman atau tidak seseorang manusia itu.
2] Allah ‘Azza wa Jalla telah menjadikan ukuran beriman atau tidak seseorang manusia itu berdasarkan terima atau tidak seseorang itu terhadap hukum yang diputuskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Firman Allah Ta’ala: “…dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka…” tidaklah bererti bahawa ayat ini hanya sah dilaksanakan di zaman Rasulullah masih hidup untuk menghakimi sesuatu perselisihan yang dihadapkan kepada beliau tetapi ia adalah sah dilaksanakan kepada semua generasi manusia di semua zaman sesuai dengan peranan yang dimiliki oleh kitab al-Qur’anul Karim yang sah dijadikan sumber rujukan dan penghujahan sehingga ke Hari Kiamat. Sebagai contoh, ayat in tetap sah untuk dijadikan hujah bagi menangani sikap segelintir umat masa kini yang mempertikaikan hukuman rejam dengan batu sehingga mati terhadap penzina yang sudah berkahwin yang diputuskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hukum yang diputuskan oleh Rasulullah tersebut adalah sah selari dengan kuasa dan authority yang diberikan oleh Allah ‘Azza wa Jalla kepada beliau. Maka barangsiapa yang menerima hukum tersebut maka dia adalah orang yang beriman manakala sesiapa yang mengingkari hukum tersebut maka dia tidak beriman.
[3] Seterusnya Allah Subhanahu wa Ta’ala mensyaratkan bahawa penerimaan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hendaklah secara total dan menyeluruh tanpa adanya rasa keberatan atau tidak puas hati. Pensyaratan tambahan oleh Allah Ta’ala ini tidak lain menunjukkan sifat mutlak, absolute dan ketidak-terbatasan yang dimiliki oleh hukum-hukum yang digubal, diputus dan dijatuhkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
[4] Perhatikan juga bahawa dalam menetapkan ukuran beriman atau tidak seseorang berdasarkan penerimaan apa yang dihukumkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan dalam mensyaratkan penerimaan hukum tersebut secara total tanpa keraguan atau keberatan, Allah Tabaraka wa Ta’ala tidak membuat apa-apa rujukan atau sandaran kepada kitab al-Qur’anul Karim. Allah Ta’ala tidak menghubungkan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah dengan hukum yang terkandung di dalam al-Qur’an dan Allah Ta’ala tidak menghubungkan penerimaan hukum tersebut secara total dengan kitab al-Qur’anul Karim. Dalam erti kata lain, seseorang itu hendaklah menerima hukum yang diputuskan oleh Rasulullah tanpa mengambil kira sama ada hukum tersebut diputuskan dalam al-Qur’an dan seseorang itu hendaklah menerima hukum tersebut secara total tanpa perlu ia diperkuat atau diperkukuhkan oleh al-Qur’anul Karim.
[5] Akhir sekali, perhatikan juga bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala secara mutlak menjadikan ukuran iman seseorang itu hanya berdasarkan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini tidak lain menunjukkan sifat kewahyuan, kesempurnaan dan keterpeliharaan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah. Kerana jika diandaikan bahawa hukum yang diputuskan oleh Rasulullah adalah berasal dari ijtihad dan penalaran dirinya sendiri tanpa bimbingan ILahi, sudah tentu ia terbuka kepada pelbagai kekurangan dan kecacatan manusiawi sehingga pasti ia tidak dapat dijadikan ukuran keimanan seseorang. (T.M. Hasbi as-Shiddiqy dalam Tafsir al-Qur’anul Majid an-Nur, jld. 1, m/s. 860)
Ketiga: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.” (al-Haysr, 59: 07)
Ayat ini dengan jelas dan tepat menerangkan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada umat Islam untuk menerima apa sahaja yang dibawa, dianjur dan diperintahkan oleh Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan meninggalkan apa sahaja yang dinafi, dicegah dan dilarang olehnya. Ayat ini merupakan satu lagi dalil yang kuat lagi padu bahawa Allah ‘Azza wa Jalla memberikan kuasa dan authority penuh kepada Rasul-Nya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk menggubal dan memerintahkan sesuatu perkara secara tersendiri manakala umat pula wajib menerima dan mentaatinya. Sekali lagi perhatikan juga bahawa perintah Allah Ta’ala dalam ayat ini adalah mutlak secara tersendirinya tanpa suruhan kepada umat untuk merujuk dan menyandarkan suruhan atau larangan Rasulullah tersebut kepada dalil-dalil al-Qur’anul Karim.
Segelintir pihak, terutamanya Golongan Anti-Hadis menolak kemutlakan maksud firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat di atas. Mereka berkata ayat ini hanyalah merujuk kepada perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam urusan sebaran dan pembahagian harta-harta rampasan perang. Mereka berpendapat sedemikian berdasarkan keseluruhan ayat ke 7 tersebut, iaitu:
“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).
(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.
Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (al-Hasyr, 59: 7)
Dengan merujuk kepada keseluruhan pengajaran ayat, mereka berkata bahawa firman Allah: “…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya…” hanyalah merujuk kepada perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam urusan sebaran dan pembahagian harta-harta rampasan perang. Yakni, apa yang disebar dan dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah maka terimalah ia dan apa yang tidak disebar atau dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah maka janganlah dipersoalkan pula. Pengertian dan pengajaran ayat tidak ditujukan kepada apa-apa selain sebaran dan pembahagian harta-harta rampasan perang sahaja.
Baiklah, mari kita bincang dan bahas secara mendalam ayat ke 7 surah al-Haysr ini. Ia sememangnya diturunkan berkaitan dengan pembahagian harta-harta rampasan perang. Lebih tepatnya sebagaimana terang Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu (Sahih: Atsar sahabat dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari, al-Baihaqi dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari, no. 4885. (Kitab at-Tafsir, Surah al-Haysr, Apa yang diberi oleh Allah kepada Rasul-Nya dari rampasan perang)), ia diturunkan berkenaan urusan sebaran, pembahagian dan penggunaan harta-harta yang ditinggalkan oleh Bani an-Nadhir, satu komuniti Yahudi yang diusir keluar dari lembah Madinah kira-kira 6 bulan selepas peristiwa Perang Badar (Sahih: Sebagaimana terang A’isyah radiallahu-anha, dikeluarkan oleh Ibnu Mardhawih dan Abdurrazzaq ibnu Humman as-Sa’nani. Isnadnya sahih sebagaimana dinilai oleh Habib-ur-Rahman al-Azami dalam Musannaf Abdurrazzaq, no. 9732 dan seterusnya. (Bab Kejatuhan Bani an-Nadhir, jld. 5, m/s. 357 dan seterusnya)) kerana mereka mencabuli perjanjian damai yang sedia dipersetujui dengan orang-orang Islam ketika itu. (Untuk bacaan lebih lanjut, sila lihat mana-mana kitab sirah Nabi, antaranya The Life of Muhammad, pg. 277-281 oleh Muhammad Husein Haykal dan Madinan Society at the Time of The Prophet, vol. 1, pg. 128-134 oleh Akram Diya’ al-‘Umari)
Namun adalah tidak tepat untuk dikatakan bahawa keseluruhan pengertian dan pengajaran ayat ke 7 surah al-Haysr tersebut hanya ditujukan kepada urusan harta rampasan perang sahaja. Jika didalami keseluruhan ayat tersebut, akan didapati bahawa ia dibahagikan kepada 3 bahagian sebagaimana yang ditanda dengan tanda waqf al-Jaa’iz (?). Berikut disusun secara berasingan setiap dari bahagian tersebut dengan terjemahan harfiah perkataan demi perkataan (word by word translation) yang disalin dari buku Bacaan oleh Othman Ali (http://www.ropelist.com/articles/malay/malay_bacaan.html):
[01] Segala apa rampasan perang yang Allah memberi rasul-Nya daripada penduduk bandar-bandar raya adalah kepunyaan Allah, dan rasul-Nya, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, supaya ia jangan bergilir antara orang-orang kaya antara kamu.
[02] Apa sahaja yang rasul memberi kamu, ambillah; apa sahaja yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah. (Menarik juga untuk diperhatikan bahawa dua tokoh Golongan Anti-Hadis yang lain, yakni Kassim Ahmad dan Rashad Khalifa telah mengubah terjemahan bahagian kedua ayat di atas. Kassim Ahmad dalam bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, m/s. 58, telah menterjemahkan ayat tersebut sebagai: Apa-apa harta rampasan perang yang diberi oleh rasul kepadamu hendaklah kamu terima dan apa yang ditegahnya hendaklah kamu tinggalkan; manakala Rashad Khalifa dalam “Qur’an: The Final Scripture (Authorized English Version)”, pg. 391, telah menterjemah ayat tersebut sebagai: “Any gained spoils that the messenger gives you, you shall accept, and whatever he forbids you, you shall leave”. Padahal dalam teks Arab yang sebenar, tidak terdapat perkataan harta rampasan perang dan gained spoils)
[03] Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya.
Perhatikan bahawa bahagian pertama ayat secara khusus membicarakan perihal harta rampasan perang manakala bahagian kedua ayat membicarakan perintah atau larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara umum lagi terbuka tanpa ditujukan kepada apa-apa pengertian yang tertentu atau khusus. Demikian juga bahagian ketiga ayat, ia secara umum lagi terbuka membicarakan perintah untuk bertaqwa kepada Allah dan ancaman kepada sesiapa yang menyalahinya dan ia tidak ditujukan kepada apa-apa pengertian yang tertentu atau khusus.
Perbezaan lafaz antara bahagian pertama dengan bahagian kedua ayat perlu kita fahami secara mendalam. Telahpun dinyatakan sebelum ini dan akan diulangi sekali lagi bahawa Allah Tabaraka wa Ta’ala dengan segala Kebijaksanaan dan Keluasan Hikmah-Nya, tidak akan membicarakan satu perkara yang sama dengan susunan ayat yang berbeza melainkan apa yang dikehendaki-Nya antara kedua ayat tersebut adalah juga berbeza. Dengan itu juga, kitab al-Qur’anul Karim dengan segala sifat-sifat kemukjizatan bahasa dan gaya penyampaian yang sehingga kini tidak tercabar keistimewaannya, tidak akan membicarakan satu perkara yang sama dengan dua susunan ayat yang berbeza melainkan pengajaran yang hendak disampaikan juga adalah berbeza antara keduanya.
Justeru itu apabila bahagian pertama ayat membicarakan perihal urusan harta rampasan perang, maka sememanglah ia membicarakan urusan harta rampasan perang dan ini tidak kita sanggahi. Akan tetapi perlu dikenali bahawa bahagian kedua ayat membicarakan perihal perintah dan larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara umum lagi terbuka tanpa di-hadkan atau dikhususkan kepada sesuatu subjek yang tertentu. Allah ‘Azza wa Jalla menggunakan perkataan (ma) berupa ism mausul yang bererti apa-apa sahaja atau apa jua atau apa-apa sekalipun bagi menandakan sifat keterbukaan ayat tanpa pembatasan. Ini berbeza dengan bahagian pertama ayat di mana Allah ‘Azza wa Jalla telah menggunakan perkataan (afa’) yang sememangnya bererti harta rampasan.
Perbezaan antara bahagian pertama dan kedua ayat bukanlah suatu ketidak-sengajaan tetapi demikianlah kehendak sebenar Allah ‘Azza wa Jalla kerana seandainya Allah menghendaki perintah atau larangan Rasulullah tersebut dibatasi oleh urusan harta rampasan perang sahaja, adalah memadai dengan bahagian pertama ayat tanpa pengulangan semula. Atau jika pengulangan diperlukan untuk menekankan authority Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam urusan harta rampasan perang, maka Allah ‘Azza wa Jalla pasti akan menggunakan lafaz yang khusus lagi membatasi, umpama: Dan barang-barang rampasan perang yang rasul memberi kamu, ambillah; dan barang-barang rampasan perang yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah. Akan tetapi Allah Ta’ala tidak melakukan sedemikian maka siapakah pula kita untuk melakukannya?
Kemudian perhatikanlah pula bahagian ketiga ayat di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala sekali lagi berbicara dengan lafaz yang umum, memerintahkan umat untuk bertaqwa kepada-Nya dan mengancam keras sesiapa yang menyalahi perintah bertaqwa tersebut. Diulangi, bahawa Allah ‘Azza wa Jalla menggunakan lafaz umum bagi menandakan bahawa ketaqwaan kepada-Nya adalah umum meliputi seluruh perintah atau larangan. Keumuman firman Allah dan gaya bahasa ayat menunjukkan bahawa perintah ini tidak terhad kepada urusan pembahagian harta rampasan perang sahaja.
Daripada penerangan di atas yang merujuk khusus kepada kaedah susunan ayat oleh yang Maha Bijaksana dan kemukjizatan gaya penyampaian al-Qur’anul Karim, jelas bahawa bahagian kedua ayat yang bermaksud: Apa sahaja yang rasul memberi kamu, ambillah; apa sahaja yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah – adalah ditujukan umum kepada apa sahaja perintah dan larangan agama yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Termasuk dalam keumuman perintah dan larangan ini adalah urusan pembahagian harta rampasan perang.
Maka adalah tidak asing apabila kita dapati orang yang telah dipertanggung jawabkan untuk membaca, menyampai mengajar dan menghurai kitab al-Qur’anul Karim yakni Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dengan sendirinya telah bersabda:
“Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu maka lakukanlah ia dengan semampu kamu dan apabila aku melarang kamu dengan sesuatu maka tinggalkanlah ia.” (Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Abdurrazzaq, Ahmad, Muslim dan lain-lain dari Abu Hurairah radiallahu-anhu. Lihat Sahih Muslim, no. 1337. (Kitab al-Hajj, Bab Kewajipan Haji hanya sekali seumur hidup.))
Sabda beliau ini adalah selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sedang kita bahas: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.
Selain itu kita juga dapati para sahabat radiallahu ‘anhum, iaitu generasi yang hidup di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, yang hadir ketika turunnya ayat-ayat al-Qur’an dan yang paling memahami konteks pengajaran serta tujuan ayat, sering merujuk kepada ayat ke 7 surah al-Haysr yang sedang kita bahaskan ini bagi membenarkan sesuatu perintah, larangan dan hukuman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
“Abdullah ibnu Umar dan Anas bin Malik radiallahu ‘anhum berkata, Abdullah ibnu Abbas pernah bertanya kepada orang ramai: Tahukah kalian firman Allah ‘Azza wa Jalla “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya”? (al-Haysr, 59: 7). Orang ramai menjawab: Ya!
Berkata lagi Ibnu Abbas: Tahukah kalian firman Allah ‘Azza wa Jalla “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka”? (al-Ahzab, 33: 36). Orang ramai menjawab: Ya!
Kemudian berkata lagi Ibnu Abbas: Maka sesungguhnya bersaksilah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang menyimpan buah (air jusnya) dalam bekas kayu yang dilubangi, dan (dalam) bekas kayu (pokok) kurma, dan (dalam) bekas yang diperbuat dari buah labu air, dan dalam bekas yang diminyaki (atau diwarnai).” (Sahih: Dikeluarkan oleh an-Nasai dalam Sunan al-Kabir, no. 5154; juga dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustarak, no. 3798 (Kitab at-Tafsir, Tafsir surah al-Hasyr) tanpa sandaran kepada Anas bin Malik dengan susunan teks yang sedikit berbeza dan ia dinilai sahih oleh adz-Dzahabi) - Larangan ini adalah kerana minuman yang tersimpan sekian lama dalam bekas-bekas tersebut boleh menukar sifatnya kepada yang memabukkan (proses penapaian), sebagaimana dalam sebuah hadis lain yang senada dari Abu Salamah dan Abu Hurairah radiallahu ‘anhuma, di mana di akhir hadis tersebut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menerangkan sebab larangan beliau: Setiap yang memabukkan adalah haram. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Haithami, disebut oleh Fu’ad Abdul Baqi dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no. 3401 dan seterusnya. (Kitab Urusan Minuman, Bab Larangan membuat minuman dalam beberapa jenis bekas atau benjana).
Dalam satu riwayat yang lain pula, Abdurrahman bin Yazid radiallahu-anhu pernah melihat seseorang yang sedang berihram (bagi ibadat umrah atau haji) dengan memakai baju, lalu beliau melarangnya. Maka orang itu berkata: “Cuba bacakan kepada aku ayat al-Qur’an yang mengharuskan aku membuka baju.” Lalu Abdurrahman membaca ayat: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (Hasan: Dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ ul-Bayan il-‘Ilmi wa Fadhlihi – no: 2338 dan dinilai hasan oleh pentahqiq – Abu al-Ashbal al-Zahiri.)
Seorang lagi sahabat yang masyhur, Abdullah ibnu Mas’ud radiallahu-anhu pernah menyampaikan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bermaksud: Allah melaknat para wanita yang bertatoo, yang berusaha bertatoo, yang mencabut bulu-bulu muka (bulu mata dan kening), yang mengubah-suai gigi supaya nampak lebih cantik dan dengan itu mereka merubah ciptaan Allah. Kemudian perkara ini sampai ke pengetahuan seorang wanita dari Bani Asad yang bernama Ummu Ya’qub. Dia datang menemui Ibnu Mas’ud lalu berkata: Saya mendengar tuan melaknat wanita yang sekian-sekian. Ibnu Mas’ud berkata: Mengapa saya tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Rasul Allah dan Kitab Allah? Ummu Ya’qub berkata: Saya telah membaca al-Qur’an tetapi saya tidak mendapati apa yang tuan katakan itu. Ibnu Mas’ud menjawab: Kalau anda membacanya nescaya anda akan menemuinya. Tidakkah anda membaca ayat: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya? Ummu Ya’qub menjawab: Ya! (Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari, no: 4886. (Kitab at-Tafsir, Surah al-Haysr, Apa yang diberi oleh Rasul maka terimalah ia))
Penerangan-penerangan di atas, dari sudut perbahasan gaya penyampaian al-Qur’an, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan penghujahan para sahabat radiallahu ‘anhum, jelas menolak pendapat segelintir pihak yang ingin membataskan kemutlakan ayat ke 7 surah al-Hasyr tersebut kepada maksud pembahagian harta rampasan perang sahaja. Yang benar ayat tersebut adalah mutlak membuktikan kuasa dan authority yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan kemutlakan ini adalah menyeluruh tanpa perlu dikira sama ada apa jua yang disuruh atau dilarang tersebut disokong sama oleh dalil-dalil al-Qur’anul Karim.
Kesimpulan:
Dalam penjelasan yang lepas, ia telah menunjukkan bahawa:
[1] Allah ‘Azza wa Jalla sejak dari awal telah mewajibkan ketaatan kepada para Nabi dan Rasul-Nya termasuk kepada mereka yang tidak diturunkan sebuah kitab suci. Ini jelas menunjukkan bahawa ketaatan kepada para Nabi dan Rasul ini adalah mutlak kepada apa sahaja ajaran, perintah dan larangan yang mereka sampaikan tanpa perlu ia dikandung atau disokong sama oleh sesebuah kitab suci.
[2] Allah ‘Azza wa Jalla telah memerintahkan ketaatan kepada Rasul-Nya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan dua gaya atau susunan ayat, yang pertama adalah “Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya” manakala yang kedua adalah “Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul”. Perbezaan susunan ayat ini bukanlah suatu ketidak-sengajaan tetapi setiapnya memiliki erti yang tersendiri. Susunan ayat yang pertama adalah bagi ajaran, perintah dan larangan Rasulullah yang dikandung sama oleh al-Qur’an manakala susunan ayat yang kedua adalah bagi ajaran, perintah dan larangan Rasulullah yang tidak dikandung sama oleh al-Qur’an. Hal ini lebih diperkuatkan lagi dengan hadirnya ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah dan ancaman bagi sesiapa yang mengikarinya secara tersendiri tanpa perintah atau ancaman ini diganding sama kepada kitab al-Qur’anul Karim.
[3] Allah ‘Azza wa Jalla juga dalam al-Qur’anul Karim telah beberapa kali menerangkan dengan jelas kuasa, hak, kewenangan dan authority yang Dia berikan kepada Rasul-Nya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk menggubal dan melaksanakan sesuatu hukum syari’at agama. Dan Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan kita umat Islam untuk mentaati segala ajaran, perintah, larangan, dan hukum yang digubal oleh Rasulullah secara mutlak dan menyeluruh tanpa perlu disemak atau dirujuk sama ada ia terdapat di dalam al-Qur’an atau tidak.
3 hujah atau kesimpulan di atas jelas menunjukkan bahawa ajaran, perintah dan larangan yang disampaikan oleh seseorang Nabi atau Rasul Allah, adalah ia berdiri dengan sendirinya secara mutlak sebagai salah satu sumber syari’at tanpa perlu ia dikandung sama oleh dalil-dalil sesebuah kitab suci. Demikian juga, apa sahaja yang didakwah, diajar, diperintah, dilarang dan dihukum oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, adalah ia berdiri dengan sendirinya sebagai satu sumber syari’at Islam tanpa perlu ia dikandung sama oleh kitab al-Qur’anul Karim.
Dengan jelasnya asas dan dasar yang amat penting ini, tidak perlu lagi timbul persoalan, kemusykilan dan bantahan terhadap hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bercanggah, berlainan atau tidak dikandung sama oleh al-Qur’an. Seperti hukum rejam dengan batu kepada penzina yang telah berkahwin, hukum larangan memakai emas dan sutera bagi lelaki, hukum batalnya wudhu’ dan sebagainya. Semua ini adalah hukum-hukum syari’at Islam yang digubal oleh Rasulullah berdasarkan kuasa dan authority yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepadanya dan hukum-hukum ini wajib kita terima dan taati secara sendirinya tanpa mengambil kira sama ada ia selari atau tidak dengan hukum al-Qur’an. Bukankah al-Qur’an sendiri yang telah menerangkan kuasa dan authority Rasulullah sebagai penggubal hukum dan mewajibkan umat untuk mentaatinya secara mutlak? Justeru itu sesiapa yang ingin mentaati al-Qur’an hendaklah dia mentaati Rasulullah. Dan sesiapa yang ingin mentaati Allah ‘Azza wa Jalla hendaklah dia mentaati Rasulullah. Tidak ada perbezaan antara mentaati hukum-hukum dari Rasulullah atau mentaati hukum-hukum al-Qur’an kerana kedua-duanya itu tetap berasal dari Allah Subhanahu wa Ta’ala juga pada dasarnya, sebagaimana firman Allah Ta’ala:
“Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah.” (an-Nisaa’, 4: 80)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah bersabda:
“Dikhuatirkan seseorang duduk di atas kerusinya, dia menyampaikan hadis aku kemudian dia berkata: “Antara kami dan kamu ada Kitab Allah (al-Qur’an), apa yang kami dapati dihalalkan di dalamnya maka kami pun menghalalkannya dan apa yang kami dapati diharamkan di dalamnya maka kamipun mengharamkannya.” Ingatlah! Demi sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasulullah maka ia adalah sama dengan apa yang diharamkan oleh Allah. (Sahih: Hadis dari Miqdam bin Ma’di al-Kariba radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi dan lain-lain; dinilai sahih oleh Hasain Salim Asad dalam Musnad ad-Darimi, no. 606 (Muqaddimah: Bab as-Sunnah penentu atas Kitab Allah Ta’ala))
Kekhuatiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas ditujukan kepada kemungkinan akan wujudnya orang-orang yang mempersoalkan hadis-hadisnya yang tidak dikandung sama oleh al-Qur’an, lalu akhirnya mereka hanya mengambil apa yang dihalal dan diharamkan oleh al-Qur’an sahaja. Sikap seperti ini diperbetulkan oleh Rasulullah, di mana beliau menyatakan bahawa apa yang beliau haramkan, maka ia adalah sama dengan apa yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Demikianlah juga sebaliknya, apa yang diperintah atau dihalalkan oleh Rasulullah, maka ia juga adalah apa yang diperintah dan dihalalkan oleh Allah Ta’ala. Dalam ertikata lain, segala perintah dan larangan yang disampaikan beliau, ia berasal dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Perhatikan bahawa Rasulullah tidak mengaitkan apa yang diharamkannya dengan al-Qur’an tetapi dikaitkan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
http://bahaya-syirik.blogspot.com/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Komentar anda sangat berarti bagi kami,,,,Terimakasih sebelumnya,